Powered By Blogger

Friday, October 30, 2009

Keganasan Komunis di SITC dan Tanjong Malim

Kini perdebatan tentang komunis dan komunisme kembali mendapat tempat dalam media arus perdana negara. Perkara ini dihangatkan lagi setelah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesa kerajaan Malaysia supaya membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia atas dasar kemanusiaan. Ramai yang menentang atau tidak bersetuju Chin Peng kembali ke Malaysia setelah rayuan terakhirnya di mahkamah tidak membuahkan hasil. Tidak kurang pula yang bersimpati dan mudah melupai kekejamannya di masa silam, lantas sudi memaafkan kesalahannya. Ada juga rakyat yang buta sejarah dan menggangap komunis sebagai pejuang negara! Benarkah begitu?
Bukankah komunis berjuang semata-mata untuk mendapatkan kuasa melalui kekerasan dan menegakkan ideologi komunisme? Mereka sebenarnya terpengaruh dengan ideologi Marxist di Russia dan Maoist di China yang mendapat kuasa melalui revolusi kaum buruh dan petani. Mereka kemudiannya menggerakkan revolusi dan mengganas, terutamanya di kampung-kampung menyebabkan ribuan orang awam dan anggota pasukan keselamatan terbunuh. Tak terkira harta benda dan tanaman dimusnahkan sebagai tindak balas kepada pihak yang tidak menyokong perjuangan mereka, sehingga kerajaan terpaksa mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 hingga 1960. Ini semua angkara Chin Peng dan rakan-rakannya yang melancarkan perang gerila dari hutan pada Jun 1948 sehingga peletakan senjata mereka pada Disember 1989.
Tulisan ini bertujuan mengimbau kembali sejarah darurat yang berlaku dalam tahun 1948 hingga 1960 selama 12 tahun, yang memberi kesan kepada kehidupan pelajar-pelajar Sultan Idris Training College atau SITC (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan masyarakat Tanjong Malim. Semasa darurat, Tanjong Malim dan kawasan sekitarnya menjadi sarang pengganas komunis. Boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku sahaja kejahatan atau kekejaman komunis. Misalnya ugutan terhadap penuntut-penuntut SITC dan penduduk Tanjong Malim, membakar bas kepunyaan syarikat pengangkutan di situ, tembak menembak di kampung antara pasukan keselamatan dengan pengganas, letupan bom di depoh minyak kepunyaan syarikat bas Mogah, serangan ke atas pasukan polis Tanjong Malim, serangan bom mortar di kawasan SITC dan lain-lain lagi.
Tidak jauh dari kawasan SITC iaitu arah ke utara (jalan lama) terdapat satu selekoh berdekatan dengan Kampung Simpang Ampat. Di kiri kanan jalan ke selekoh itu terdapat bukit dan di kaki bukit tersebut terdapat denai-denai yang menjadi tempat laluan pengganas komuis yang bergerak dari utara ke selatan. Mengikut cerita daripada bekas-bekas pelajar SITC, mereka pernah terserempak dengan pengganas komunis menyeberang di situ. Pengganas-pengganas komunis itu biasanya berpakaian seragam pasukan bintang tiga. Mereka selalunya bergerak dalam kumpulan tiga hingga sepuluh orang satu kumpulan.
Bagi menjaga keselamatan pelajar-pelajar di SITC, Polis Khas yang dikenali sebagai SC (Special Constable) ditempatkan di situ. SC yang bertugas di situ hanya beberapa orang sahaja. Mereka dibantu oleh pasukan Home Guard yang terdiri daripada penuntut-penuntut atau kakitangan SITC dan juga orang-orang kampung. Mereka dibekalkan dengan senjata dan diberi latihan kawad dan menembak. Salah sebuah daripada setor kepunyaan SITC dijadikan tempat menyimpan senjata dan sebuah pondok pengawal didirikan berdekatan dengan setor tersebut.
Arah ke dalam sedikit dari pondok pengawal SITC itu ada sebuah perkampungan Melayu iaitu Kampung Simpang Ampat yang sering berlaku kekejaman oleh pihak komunis. Pada 2 April 1951, jam 3.15 pagi, sekumpulan pengganas komunis seramai 20 orang telah menyerang dan membunuh dua orang pengawal SITC. Pengganas komunis tersebut telah memaksa pengawal berkenaan supaya menyerahkan senjata mereka, tetapi mereka enggan lalu mereka ditembak mati. Senjata dan jam tangan mereka telah dirampas termasuk sebentuk cincin emas kepunyaan pengawal tersebut.
Satu ketika lain pula, pada waktu malam, ketika penuntut-penuntut SITC sedang menonton wayang gambar di bilik senaman (kini Galeri Seni UPSI), pengganas-pengganas komunis telah menembak pondok pengawal SC yang sedang berkawal, tetapi tembakan tersebut terkena bilik projektor maktab. Apabila mendengar bunyi tembakan itu, penuntut-penuntut yang sedang asyik menonton tayangan gambar Inggeris telah lari bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing dan ada yang meniarap ke lantai. Tayangan pada malam itu telah dibatalkan dan penuntut-penuntut kemudiannya dinasihati pulang ke asrama masing-masing.
Walaupun serangan pada malam itu tidak mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa, cuma satu kerosakan kecil berlaku pada dinding panggung wayang tersebut, namun penuntut-penuntut SITC telah mengalami trauma dan belajar dalam ketakutan.
Pekan Tanjong Malim mempunyai kira-kira 20,000 orang penduduk yang majoritinya terdiri daripada orang-orang Cina. Kedudukan SITC pula tidak berapa jauh dari Balai Polis Tanjong Malim. Oleh kerana hendak mengelak daripada diketahui oleh pihak polis, pengganas-pengganas komunis selalunya bertindak pantas dan terus melarikan diri ke dalam hutan yang berhampiran.
Pada suatu ketika yang lain pula, saluran paip air yang membekalkan air kepada penuntut-penuntut SITC dan penduduk sekitar Tanjong Malim telah dirosakkan oleh sekumpulan pengganas komunis. Saluran paip air yang dirosakkan itu terletak dalam sebuah kebun getah di belakang SITC. Sebenarnya saluran paip dari takungan yang letaknya lebih kurang 3.22 KM (2 batu) di atas bukit telah dipotong lima kali oleh pengganas komunis. Pada 24 Mac 1952, pengganas komunis memutuskannya buat kali ke enam. Pada kira-kira jam 7.00 pagi hari Selasa, pada 25 Mac 1952, sekumpulan pegawal dan kakitangan yang membaiki saluran paip air telah masuk ke kebun getah itu untuk menjalankan tugas. Belumpun sempat kerja membaiki dimulakan, mereka telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis yang dianggarkan seramai 20 hingga 30 orang.
Penuntut-penuntut SITC pula ketika itu terpaksa mandi dan membersihkan diri di sungai Bernam sebelum bekalan air dapat dipulihkan. Ketika perjalanan ke tempat mandi, terdengar bunyi tembakan beberapa kali datang dari arah kebun getah bersebelahan sungai Bernam. Tuan Haji Zainal Abidin bin Mohd Ali yang menjadi Timbalan Pengetua SITC pada masa itu segera datang dan memerintahkan penuntut-penuntut yang tercengang-cengang kerana tidak mengetahui puncanya supaya segera beredar dari situ untuk menyelamatkan diri.
Lebih kurang jam 11.00 pagi, barulah diketahui bahawa sejumlah 12 orang pengawal dan kakitangan yang ditugaskan untuk membaiki saluran paip telah terkorban ditembak pengganas komunis. Hanya seorang yang terselamat kerana berpura-pura mati dan berjaya melarikan diri ke Balai Polis Tanjong Malim untuk meminta bantuan. Mayat-mayat yang terdiri daripada pengawal dan orang awam yang terkorban itu dikumpulkan di hadapan Pejabat Daerah sebelum dihantar ke Pusat Kesihatan Tanjong Malim.
Di antara yang terkorban termasuk dua orang pegawai Inggeris iaitu Penolong Pegawai Daerah Tanjong Malim bernama Michael Codner dan seorang Jurutera Eksekutif benama W.H. Fourniss. Tujuh daripada mangsa itu ialah pengawal daripada pasukan polis hutan, manakala tiga mangsa yang lain ialah pekerja Teoh Eng Kiew, Penolong Teknikal Ahmad bin Jali dan Lanskoperal Polis Hamid bin Johari.
Sebagai tanda menghormati mangsa keganasan komunis itu, kedai di Tanjong Malim ditutup sepanjang hari pada hari kejadian. Penuntut-penuntut dan penduduk Tanjong Malim terkejut dengan kejadian itu, tetapi mereka juga takut kepada pengganas komunis.
Peristiwa yang memeranjatkan ini telah menyebabkan General Sir Gerald Templer yang pada ketika itu menjadi Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu bertindak pantas. Beliau telah datang ke SITC Tanjong Malim iaitu pada 27 Mac 1952 dengan menaiki sebuah kereta perisai dari Kuala Kubu.
Pada sebelah pagi berikutnya, semasa penuntut-penuntut sedang beratur masuk ke kelas, mereka telah diarah supaya memasuki ke Dewan Besar (kini Dewan Suluh Budiman). Ini menyebabkan masing-masing cemas dan tertanya-tanya sesama sendiri. Beberapa minit kemudian kelihatan beberapa orang anggota polis dari Balai Polis Tanjong Malim datang. Ada yang masuk ke dalam Dewan Besar dan menutup pintu-pintu dewan tersebut. Kemudian diikuti oleh sepasukan askar, datang dan masuk ke dalam dewan. Ada di antara mereka yang terus ke tengah padang maktab yang luas itu. Mereka berlutut di sekeliling kawasan padang dengan menghala muncung senapang ke arah sekitar, seolah-olah bersiap sedia menghadapi pertempuran.
Tidak berapa lama kemudian, orang ramai datang dan mereka semuanya disuruh masuk ke dalam Dewan Besar. Sesiapa yang membawa senjata seperti pistol, keris, parang dan golok disuruh tinggalkan di muka pintu masuk Dewan Besar. Jumlahnya lebih kurang 300 orang yang terdiri daripada ketua-ketua kaum Melayu, Cina dan India, dan orang-orang kampung di sekitar Tanjong Malim. Selepas itu, datang sebuah trak tentera, di atas trak itu terbentang sehelai kain merah sebagai tanda ada sesuatu kecemasan. Trak itu berhenti di hadapan Dewan Besar, lalu keluar seorang pegawai tentera berpakaian seragam lengkap dengan sepucuk pistol di pinggangnya, beliau ialah General Sir Gerald Templer. Beliau masuk ke dalam dewan tempat orang ramai sedang menunggu lalu memberi ucapan dan memberitahu tentang tujuan kedatangannya.
Templer bercakap dengan nada marah, mengingatkan mereka bahawa dalam masa tiga bulan, pengganas-pengganas komunis telah melakukan banyak kekacauan dan keganasan di Tanjong Malim. Antara kekacauan yang dilakukan oleh pengganas komunis termasuklah sepuluh kejadian hendap terhadap pasukan polis dan tentera, lima buah lori telah dibakar, 6,000 pokok getah ditakik, tujuh pemogokan apabila buruh dihasut dan diugut, tiga buah bas dimusnahkan, lima kali serang hendap yang gagal di jalan raya, satu kejadian menggelincirkan kereta api, satu serangan terhadap sebuah kampung, dua saluran paip air dirosakkan dan 16 khemah komunis dijumpai oleh pasukan keselamatan. Dalam keganasan tersebut, lapan orang anggota polis terbunuh dan sembilan orang cedera.
Pengganas-pengganas komunis yang melakukan pembunuhan itu dipercayai masih berada di kawasan sekitar Tanjong Malim. Seterusnya beliau meminta supaya orang ramai memberi maklumat tentang kegiatan orang awam pula, tujuh orang mati dan dua cedera. Templer meminta orang ramai menolong menghapuskan pengganas-pengganas komunis yang sedang bermaharajalela di sekitar kawasan pengganas komunis di kawasan itu. Mereka juga diberi amaran keras supaya tidak terlibat membantu atau terpengaruh dengan dakyah-dakyah komunis. Sesiapa yang terlibat akan dikenakan hukuman tegas termasuk akan ditembak sampai mati. Selepas orang ramai dan penuntut diberi penerangan tentang keadaan semasa itu, mereka dibenarkan pulang.
Bagi memburu pengganas yang bertanggungjawab melakukan pembunuhan tersebut, penuntut-penuntut SITC yang menganggotai Home Guard telah turut terlibat membantu Inggeris membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah. Pengenalan diri penduduk telah diperiksa satu persatu. Pegawai Daerah yang baru, D.C.L. Wilson telah dilantik dan beliau dibantu oleh pasukan polis dan tentera tambahan. Seorang majistret juga dilantik yang bertanggungjawab terhadap kesalahan melanggar perintah berkurung. Pekan Tanjong Malim juga dikenakan perintah berkurung selama 20 jam. Cuma empat jam sahaja mereka dibenarkan keluar iaitu dari jam 10.00 pagi hingga 2.00 petang untuk mendapatkan barang keperluan.
Catuan beras dikurangkan dari kira-kira 3 KG (5 kati) seorang seminggu kepada 1.81 KG (3 kati) bagi orang dewasa dan kira-kira 1.51 KG (2½ kati) bagi kanak-kanak. Tiada seorang pun yang dibenar meninggalkan pekan Tanjong Malim. Hukuman kolektif itu merangkumi setiap penduduk, lelaki, perempuan dan juga kanak-kanak di Tanjong Malim, di estet dan kampung yang menganjur dari Tanjong Malim hingga ke Trolak, kira-kira 18 batu ke arah utara. Sesiapa yang engkar dan melanggar perintah berkurung ini akan ditembak oleh askar-askar yang ditugaskan untuk menjaga kawasan tersebut.
Namun demikian, kelonggaran diberi kepada penternak lembu selama dua jam pada sebelah pagi untuk keluar memberi makanan kepada ternakan mereka. Ini memandangkan terdapat lebih kurang 50 orang penduduk Tanjong Malim keturunan India memelihara lembu. Semua sekolah ditutup dan perkhidmatan bas juga dihentikan. Pada masa yang sama, Keretapi Tanah Melayu menghentikan jualan tiket kereta api ke selatan yang melalui Tanjong Malim. Ini tentunya menyusahkan penuntut-penuntut SITC yang belajar kerana mereka tidak dapat pulang ke kampung masing-masing. Ibu bapa mereka juga tidak dapat membekalkan barang keperluan dan wang ringgit untuk perbelanjaan.
Dengan itu, hubungan Tanjong Malim dengan kawasan luar terputus. Sekatan ini dikekalkan sehingga penduduk membuktikan yang mereka bersedia bekerjasama dalam menghapuskan kawasan mereka daripada keganasan komunis. Pihak kerajaan berharap, sekatan dan kelaparan yang dialami oleh penduduk dapat menyebabkan mereka memberi maklumat kepada pihak berkuasa. Perkara ini dilaporkan oleh akhbar The Strait Times di bawah topik utama “Hungry Feeling Will Make Tanjong Malim Talk.” Ini kerana Gerald Templer percaya bahawa penduduk Tanjong Malim mengetahui tentang kegiatan pengganas komunis, tetapi takut untuk memberitahu kepada pihak kerajaan. Sekatan yang dikenakan amat menyusahkan kehidupan penuntut-penuntut SITC dan penduduk Tanjong Malim.
Sekatan yang dikenakan itu sememangnya menyusahkan kehidupan penduduk-penduduk Tanjong Malim. Sebahagian besar daripada kedai mempunyai tandas dan bilik air di luar kedai. Di bawah perintah berkurung, mereka tidak dapat menggunakan tandas dan bilik air kerana tidak dibenarkan keluar dari rumah. Kebebasan bergerak disekat dan kerja harian tidak dapat dilaksanakan seperti biasa. Mereka menghadapi kesusahan mendapatkan makanan dan mengalami tekanan perasaan. Penduduk tidak dapat keluar bekerja dan menyebabkan mereka kehilangan nafkah hidup. Penoreh getah, penternak lembu dan penjaja kehilangan punca pencarian. Ini adalah kali pertama di Tanah Melayu di mana sebuah pekan atau kawasan dihadkan makanan dengan tujuan untuk membuat penduduk memberi maklumat tentang kejadian keganasan komunis yang berlaku di kawasan itu.
Penduduk Tanjong Malim khasnya penuntut-penuntut SITC menderita kelaparan dan berdepan dengan kebuluran setelah 10 hari catuan beras dan perintah berkurung 22 jam dikenakan. Ramai penduduk mula merasa kepedihan akibat kelaparan dan kerugian dalam perniagaan sebanyak $100,000 dalam 10 hari perintah berkurung dikuatkuasakan. Sementara itu harga barangan keperluan melambung tinggi. Ada antara mereka bergadai apa saja sebagai cara memperoleh wang untuk membeli makanan.
Ketika bekalan air belum dipulihkan, penduduk yang selama ini menerima bekalan air paip terpaksa menggunakan air sungai dan menadah air hujan untuk memasak. Begitu juga dengan penuntut-penuntut SITC, bekalan air ke asrama mereka telah terputus menyebabkan mereka semua mandi-manda dan mendapatkan bekalan untuk minuman dari sungai Bernam. Keadaan di Tanjong Malim begitu daif dan penduduk pula bimbang keselamatan nyawa dan harta benda mereka.
Semasa perintah berkurung dikuatkuasakan, gerakan menyoal siasat sesiapa yang disyaki membantu atau menjadi agen pengganas komunis telah dilaksanakan. Pada 6 April 1952, pemerintah British mengedarkan kertas soal selidik yang ditulis dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil ke setiap rumah di Tanjong Malim. Mereka dikehendaki memberitahu nama-nama pengganas komunis yang tinggal di situ, kegiatan pengganas yang diketahui mereka, nama orang yang menolong memberi makanan atau menolong memberi wang dan lain-lain bantuan.
Demikian juga nama pemungut wang, ejen pengambilan rekrut dan yang menjadi tali barut komunis perlu diberitahu. Mereka dikehendaki menjawab soal selidik pada kertas yang disediakan. Kertas jawapan tersebut dimasukkan ke dalam sebuah peti yang disediakan, kemudiannya peti tersebut dibawa balik ke King House dan dibuka serta diperiksa sendiri oleh Sir Gerald Templer. Wakil penduduk Tanjong Malim, Abdul Rashid bin Abdul Wahab, Tan Boon Jin, Leong Gee, Alaudin (Ketua Kampung Simpang Ampat) dan seorang lagi wakil India dijemput hadir melihat Templer membuka peti soal selidik di Kuala Lumpur.
Kira-kira 2,000 surat yang mengandungi hal-hal rahsia mengenai pengganas komunis diterima daripada penduduk Tanjong Malim. Hasil daripada gerakan tersebut, kira-kira 40 orang Cina termasuk beberapa orang taukeh dan beberapa orang India yang disyaki menjadi utusan atau pembekal makanan kepada komunis telah ditangkap pada 7 April 1952 lalu dibawa ke Kuala Lumpur untuk disoal siasat. Di antara mereka, ada tiga orang yang terlibat secara langsung dalam kegiatan komunis.
Setelah maklumat diperolehi dan keadaan sekitar Tanjong Malim agak terkawal, pada 9 April 1952, perintah berkurung telah mula dilonggarkan sedikit, iaitu dari jam 7.00 petang hingga 6.00 pagi keesokan hari dan perintah berkurung rumah dari tengah malam hingga 5 pagi. Selepas hukuman tersebut, penduduk Tanjong Malim dikatakan telah bekerjasama dengan kerajaan. Kira-kira 3,500 penduduk Tanjong Malim dan penuntut SITC telah menyertai Home Guard untuk menjaga keamanan.
Dalam pada itu, pengganas komunis meningkatkan lagi keganasan mereka di beberapa kawasan seperti di Cameron Highlands, Perak, Johor dan Negeri Sembilan. Sehingga akhir November 1955, hanya 30 orang sahaja pengganas yang tampil dengan sukarela menyahut perisytiharan itu. Memandangkan keganasan yang kian merebak dan sambutan yang agak dingin terhadap tawaran pengampunan tersebut, maka kerajaan telah memansuhkan perisytiharan pengampunan ini pada 1 Disember 1955.
Kedegilan anggota-anggota PKM untuk bekerjasama dengan kerajaan telah menyebabkan pemerintahan darurat di Tanah Melayu berlarutan selama 12 tahun. Akhirnya pada 31 Julai 1960, Tanah Melayu diisytiharkan pulih dari bencana itu, setelah menanggung kerugian harta benda dan korban jiwa yang tidak ternilai.
Peristiwa yang diceritakan ini adalah sebahagian daripada penderitaan yang dialami oleh rakyat negara kita semasa zaman darurat akibat pemberontakan komunis. Perlukah kita menaruh simpati terhadap ‘musuh negara’ yang pernah memusnahkan masyarakat dan negara pada suatu ketika dahulu?
Sebenarnya, mangsa-mangsa kekejaman komunis kurang mendapat pembelaan berbanding dengan pihak komunis yang melakukan kekejaman. Buktinya, bekas anggota PKM hidup senang lenang dan mendapat segala kemudahan di Kampung Chulabhorn Patana, Naratiwat, Thailand. Malah kerajaan negara tersebut juga menyediakan tanah kepada mereka untuk bercucuk tanam dan sebagai tempat tinggal. Sebuah muzium yang dikenali sebagai Muzium Sejarah juga didirikan untuk tatapan ramai. Mereka sepatutnya terus tinggal di situ buat selama lamanya kerana negara ini tiada tempat buat pengkianat negara.

1 comment:

  1. salam, bolehkan saya tahu dari mana anda mendapat sumber dalam menulis penulisan ini?

    ReplyDelete